Thursday, 31 January 2013

Kerajaan tunduk dengan desakan majikan mengenai dasar levi pekerja asing?

Hari ini kerajaan melalui kementerian kewangan telah bersetuju menguatkuasakan semula dasar levi pekerja asing 1992 dengan bayaran levi tersebut dibayar sepenuhnya oleh pekerja asing tersebut.Dasar itu telah akan berkuatkuasa serta-merta kepada pekerja asing baharu atau yang mahu memperbaharui pas kerja menurut menteri kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
rujuk berita (sini)

keputusan ini dilihat kerajaan  tunduk  kepada tuntutan majikan yang disokong oleh MCA berkaitan dengan pelaksanaan gaji minimum yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2013.MCA dalam kenyataan melalui presidennya baru-baru ini telah memberi tempoh kepada kerajaan untuk mengkaji semula pelaksanaan gaji minimum ini terutama mengenai pembayaran levi yang ditanggung oleh majikan yang kononnya telah dibebani dengan kenaikan pembayaran gaji pekerja 30 hingga 50peratus sebulan.

Tindakan ini jelas memberi peluang kepada majikan untuk terus mengambil pekerja asing sebagai pekerja mereka dan ternyata sekali telah memberi tamparan kepada menteri sumber dan manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang menjangkakan pelaksanaan dasar gaji minimum bermula 1 Jan lepas akan  meningkatkan pengambilan pekerja tempatan berbanding pekerja warga asing.Kenyataan tersebut boleh klik (sini)

Keputusan kerajaan ini jelas akur dan tunduk kepada tuntutan majikan yang mahu dasar levi pekerja asing ini dikaji dan pembayaran levi tersebut dibuat oleh pekerja tersebut.Tindakan ini jua diambil serta merta kerana kononnya tidak mahu membebankan majikan terutama perusahaan kecil dan sederhana sedangkan kerajaan boleh melihat dari sudut jika majikan tersebut tidak mampu untuk membayar levi pekerja asing,maka adalah lebih baik jika majikan tersebut tidak menggaji pekerja asing dan seterusnya membuka ruang kepada pekerja tempatan.Percaya atau tidak,keprihatinan kerajaan kepada perusahaan kecil ini akan membuka ruang kesempatan jua kepada majikan yang berstatus multinasional untuk terus mendesak kerajaan dalam isu pelaksanaan gaji minimum ini.

Akhirnya yang menerima kesan dan implikasinya adalah pekerja itu sendiri.Pelaksanaan gaji minimum yang diumumkan kerajaan sebelum ini  dilihat acuh tidak acuh dalam membela  nasib kaum pekerja terutamanya pekerja swasta di negara ini.Sikap kementerian sumber manusia yang membenarkan elaun-elaun dimasukkan ke dalam gaji pokok melalui perundingan juga dilihat mengecewakan kebanyakan pekerja.

Wednesday, 30 January 2013

Suara MTUC terus tenggelam dimamah masa

Kongres Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) melalui presidennya Datuk Omar Osman telah melaporkan bahawa Kerajaan telah memenuhi 18 tuntutan cuepacs sejak 2007.Antara permohonan dan tuntutan penting yang telah ditunaikan kerajaan adalah seperti pelarasana gaji sebamyak dua kali,lanjutan usia pencen,kenaikan elaun sara diri,penmbaikan gred perkhidmatan,cuti bersalin 90hari dan pelbagai lagi.
Datuk Omar Osman telah berucap kepada pemberita di Makan Malam Cuepacs bersama media.
berita lanjut boleh dirujuk (sini)

18tuntutan dan permohonan yang didakwa oleh cuepacs telah ditunaikan oleh kerajaan jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada pekerja sektor awam dan melihat kepekaan kepada keperluan 1.4juta pekerja awam namun bagaimana dengan beberapa tuntutan dan pelaksanaan buat pekerja swasta?

Isu gaji minimum yang masih menjadi persoalan dan pertikaian dalam pelaksanaannya yang keliru,isu umur persaraannya yang masih tidak jelas,isu "contractor for labour" yang jelas boleh membawa kepada 'perhambaan' pekerja masih lagi tidak dapat ditangani dengan baik oleh kerajaan.Sikap bermain tarik tali antara kerajaan,majikan dan MTUC terus menjadi persoalan dikalanga pekerja swasta.

Lantaran itu, MTUC dilihat tidak lagi bersuara dalam isu pekerja swasta dan dilihat lemah dalam soal memperjuangkan nasib pekerja di negara ini.Apakah suara MTUC tidak lagi relevan dan dipandang sinis oleh pihak kerajaan atau dasar MTUC kini yang membuatkan suara MTUC terus tenggelam dimamah masa?

Thursday, 24 January 2013

MTUC gesa kerajaan tidak melayan desakan MCA

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Kerajaan agar tidak melayan desakan Presiden MCA Chua Soi Lek  mengenai pelaksanaan gaji  minimum baru-baru ini.MTUC melalui Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor juga menyifatkan Chua sebagai "jurucakap golongan kaya" dan parti MCA pula "tidak banyak pilihan melainkan menyuarakan sokongan kepada tuntutan pemimpin industri".
Abdul Halim jua merasakan bahawa  Chua tidak peduli dan fahami akan keperluan pekerja yang bertungkus lumus setiap hari untuk gaji serendah RM500 sebulan sebelum ini.

Chua Soi Lek baru-baru ini telah memberi kata dua kepada menteri sumber manusia Datuk Seri S Subramaniam untuk menyelesaikan mengenai dasar gaji minimum sebelum sambutan Tahun Baru Cina bulan depan dan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (IKS) yang mahu mengadakan perhimpunan bagi membantah dasar tersebut sekiranya Subramaniam gagal menyelesaikan isu berkenaan.Beliau mahu kerajaan menerima cadangan MCA supaya bayaran levi, hostel dan makanan ditanggung oleh pekerja asing yang kononnya jika tidak diterima akan mengakibatkan IKS muflis

Tindakan MCA yang secara tiba-tiba menuntut kerajaan mengubah pendirian berhubung dasar berkenaan turut dipersoalkan MTUC kerana isu tersebut sudahpun dibahaskan sebelum diputuskan pada Mac tahun lalu dan diumumkan oleh Perdana Menteri sendiri mengumumkan keputusan mengenai mengenai dasar berkenaan pada April 2012.Pelaksanaa gaji minimum ini juga diluluskan melalui Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) dan perintah gaji minimum diwartakan Julai 2012

rujukan di http://www.malaysiakini.com/news/219817

Monday, 21 January 2013

Subramaniam: Pelaksanaan gaji minimum tingkat pengambilan pekerja tempatan

Pelaksanaan dasar gaji minimum bermula 1 Jan lepas dijangka meningkatkan pengambilan pekerja tempatan berbanding pekerja warga asing, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Beliau berkata pertambahan pengambilan pekerja tempatan itu juga akan mengurangkan kebergantungan majikan tempatan kepada pekerja asing dan membolehkan majikan beralih kepada memperkasa tenaga kerja tempatan.
"Dalam undang-undangburuh kita, kita tidak boleh mendiskriminasi pekerja berdasarkan warganegara mereka. Kita tidak boleh buat pekerja asing dapat gaji lebih murah daripada pekerja tempatan supaya kos perniagaan dapat dikurangkan.
"Kerajaan faham masalah peningkatan kos ditanggung majikan (dengan pelaksanaan gaji minimum), malah ia sedang dibincangkan peringkat kabinet. Kami sedang usahakan penyelesaian sama rata dalam masa satu ke dua minggu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan Menteri Sumber Manusia Bersama Penyedia Latihan Kemahiran Awam dan Swasta di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Lebih 500 orang daripada 300 pusat penyedia kemahiran itu menghadiri majlis perjumpaan tersebut. Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan.
Pengumuman gaji minimum bagi sektor swasta dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 April dan diwartakan pada 16 Julai lepas di mana kadarnya akan dikaji semula setiap dua tahun.
Kerajaan pada masa ini menetapkan gaji minimum pekerja swasta ialah RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Sementara itu, Subramaniam berkata kementeriannya giat mengorak langkah bagi membolehkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk membuka peluang kepada pelajar asing belajar di negara ini selain memberi peluang kepada lepasan persijilan itu mendapat pekerjaan di luar negara.
Beliau berkata inisiatif itu juga bakal menjadi pemangkin kepada usaha membawa pulang pelbagai teknologi dari luar negara di samping melahirkan tenaga mahir anak tempatan yang berpendapatan tinggi.
"Ini selaras dengan dasar kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dan latihan vokasional di peringkat serantau dan antarabangsa.
"Sebagai dimensi baru kepada SKM yang diperolehi melalui Persijilan Kemahiran Malaysia, JPK juga sedang giat mempromosikan inisiatif SkillMalaysia Invite ke peringkat antarabangsa antaranya di Surabaya dan Jakarta di Indonesia," katanya.- Bernama

Sunday, 20 January 2013

Menteri: K'jaan ambil kira maklum balas isu gaji minimum

Maklum balas daripada pihak majikan terhadap isu levi serta elaun pengangkutan dan perumahan akan diambil kira di dalam perlaksanaan dasar gaji minimum tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam.
Beliau berkata isu tersebut merupakan perkara utama yang dibangkitkan semasa dua perbincangan kementeriannya bersama pihak majikan di negara ini sehingga kini.

“Isu-isu tersebut akan dibangkitkan di kabinet dan terpulang kepada kabinet untuk menentukan tindakan yang akan diambil," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Ponggal anjuran MIC Bahagian Gelang Patah di Johor Bahru hari ini.

Mengenai kebimbangan majikan yang terpaksa melepaskan pekerja asing mereka berikutan perlaksanaan dasar itu, beliau berkata itu merupakan sebahagian daripada proses transformasi bagi pekerja tempatan.

“Kita mahu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan perlaksanaan dasar gaji minimum itu akan menyebabkan pihak majikan memikirkan alternatif untuk mengekalkan kelangsungan perniagaan mereka," katanya.

Menurut beliau, itu termasuk menstruktur semula operasi dengan memilih sama ada mengamalkan operasi separa automasi atau automasi penuh bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja tidak mahir.

Menurut Subramaniam, keperluan terhadap pekerja asing akan terus ada namun kerajaan menyasarkan pengurangan mereka di negara ini secara berperingkat.

Wednesday, 9 January 2013

PERANAN YANG BOLEH DIMAINKAN OLEH KESATUAN SEKERJA

 
PENDAHULUAN 
Kesatuan sekerja di Malaysia didefinisikan dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959 sebagai satu persatuan atau gabungan majikan atau pekerja yang bekerja di Malaysia. Menurut peruntukan akta ini, keahlian sesuatu kesatuan sekerja dalam sektor swasta hendaklah terdiri daripada pekerja atau majikan dalam ketukangan, pekerjaan atau industri yang tertentu atau yang seakan-akan sama . Pekerja-pekerja menyertai kesatuan sekerja kerana mereka sedar bahawa secara kolektif mereka akan berada dalam kedudukan yang membolehkan mereka meminta gaji yang lebih dan syarat-syarat pekerjaan yang lebih baik.   Kesatuan sekerja bukan hanya berminat mengenai kehidupan ahli-ahli mereka semasa waktu bekerja tetapi juga secara meluas menggalakkan kerajaan meluaskan perundangan dan memperkenalkan polisi-polisi yang akan memberi faedah kepada pekerja-pekerja pada amnya. Oleh itu aktiviti-aktiviti kesatuan sekerja mempunyai tiga cabang. Ia memberi tumpuan kepada majikan individu dan layanan majikan terhadap pekerja-pekerja mereka, mengenai isu-isu kebangsaan yang lazim kepada semua majikan dan memberi kesan kepada semua pekerja serta mewakili pekerja-pekerja individu yang memohon bantuan mereka. Rajah 1 di halaman 2 menunjukkan pendekatan tiga serampang ini  .  Kesatuan-kesatuan sekerja tersebut dengan dana-dana yang mencukupi juga cuba memberi kemudahan secara langsung kepada ahli-ahli mereka dalam bentuk kursus latihan, biasiswa, kemudahan bercuti dan skim-skim insuran. 
 
PERANAN KESATUAN SEKERJA 

Di negara ini, kesatuan sekerja telah memainkan peranannya dengan agak berkesan dalam membela nasib pekerja-pekerja. Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam dan Jabatan Kerajaan (CUEPACS), misalnya, buat pertama kali dalam sejarahnya telah berjaya dalam usaha memperolehi penyelarasan gaji dalam tempoh tiga tahun berbanding sebelum ini yang mengambil masa hampir lima tahun. CUEPACS juga telah mengesyorkan supaya mulai 1996, kerajaan mengenakan tindakan terhadap ketua-ketua jabatan yang membenarkan terlalu banyak kakitangan bercuti panjang semasa musim perayaan hingga menjejaskan urusan pejabat. Turut menjadi harapan CUEPACS ialah tuntutan supaya jadual gaji matriks yang dilaksanakan di bawah skim Sistem Saraan Baru (SSB) dimansuhkan.  
Namun, di sebalik kejayaan yang sedikit ini, masih banyak lagi ruang di mana kesatuan sekerja boleh berperanan dengan lebih aktif. Isu mengenai hak-hak sama rata pekerja wanita, misalnya masih belum dapat ditangani dengan sewajarnya. 

Menangani isu pekerja wanita 

Kesatuan sekerja perlu melihat kepentingan peranan wanita dalam pergerakan kesatuan sekerja. Wanita masih lagi kurang dalam jawatan kepimpinan dan kurang dibenarkan mengambil bahagian dalam membuat keputusan terutamanya di peringkat atasan. Oleh itu kesatuan sekerja perlu mencadangkan kepada kerajaan dan majikan-majikan supaya mengiktiraf bahawa hak-hak wanita adalah juga hak-hak asasi manusia. Terdapat kini ramai ibu tunggal yang bekerja yang terpaksa menyara ramai anak. Tibalah masanya kesatuan sekerja menghulurkan bantuan di samping mencadangkan kerajaan supaya menangani isu ibu tunggal itu secara lebih drastik dengan memperkenalkan dan menguatkuasakan undang-undang yang melindungi pekerja wanita daripada keganasan dan penderaan seksual di tempat kerja. Bagi ibu-bapa yang bekerja di tempat yang sama, penyediaan pusat jagaan kanak-kanak diperlukan di tempat kerja supaya hubungan kasih-sayang di antara mereka dapat dijalinkan dalam masa yang lebih panjang. 

Penetapan gaji minimum dan gaji maksimum

Terdapat perbezaan yang ketara di antara gaji terendah dalam sektor swasta dan sektor awam meskipun jenis pekerjaan dan deskripsi tugas hampir sama. Kesatuan sekerja boleh berperanan menangani masalah ini dengan meminta kerajaan menetapkan gaji minimum yang melebihi RM650 kerana pendapatan yang kurang daripada itu tidak memungkinkan pekerja di bandar menikmati kehidupan yang selesa berikutan peningkatan kos sara hidup saban tahun. 
Setakat ini belum ada cadangan daripada pihak kesatuan sekerja mengenakan gaji maksimum ke atas pihak pengurusan. Di Jepun, misalnya, gaji seorang pengurus tidak jauh bezanya dengan gaji seorang pemandu teksi. Dengan itu, perasaan materialistik dan iri hati dapat dikurangkan dan rakyat dapat meningkatkan produktiviti. Kesatuan sekerja boleh menyediakan garis panduan penetapan gaji minimum dan maksimum dengan meminta ahli-ahlinya yang mempunyai taraf akademik yang tinggi menjalankan kajian menentukan keadaan sebenar kedudukan buruh di Malaysia bagi menguatkan sokongan terhadap permintaan itu. 

Membantu menangani kegawatan ekonomi 

Kesatuan sekerja boleh membantu kerajaan menangani krisis ekonomi yang melanda negara dengan menyertai Jawatankuasa Bertindak NGO Mempertahankan Kedaulatan Ekonomi Negara (Tindakan) dengan meneruskan kempen yang digelar “Belanja Berhemat Kita Selamat” . Cara lain, kesatuan sekerja boleh mengadakan sendiri kempen-kempen menyedarkan ahli-ahlinya mengenai kegawatan ekonomi dan mendorong mereka membeli barangan perlu sahaja selain meningkatkan amalan membeli barang tempatan dan menjimatkan tenaga seperti elektrik, petrol dan air.  
Apa yang dikhuatirkan dalam krisis ini ialah majikan membuang pekerja dengan alasan kegawatan ekonomi. Jika hal seperti ini berlaku, kesatuan sekerja boleh mengambil tindakan supaya pampasan yang sewajarnya diperolehi oleh pekerja yang malang itu dan majikan menyediakan pilihan pekerjaan di tempat lain. Isu penamatan pekerja asing pula perlu ditangani dengan adil supaya pihak luar tidak memandang negara ini sebagai hanya pandai menjemput pekerja asing bekerja di sini dan menghalau mereka bila tidak diperlukan.  

 Mempercepatkan penyelesaian pertikaian perdagangan 

Menurut statistik Jabatan Perhubungan Industri bilangan pertikaian perdagangan yang berlaku adalah melebihi 700 kes setiap tahun dan hanya sekitar lebih daripada 500 yang dapat diselesaikan. Oleh kerana itu terdapat lebih kurang 200 kes yang terpaksa dibawa ke tahun berikutnya untuk diselesaikan. Dalam hal ini kesatuan sekerja boleh meminta kerajaan mempercepatkan penyelesaiannya dalam jangka masa singkat dengan mencadangkan penilaian semula dan pindaan jika perlu, kepada Akta Perhubungan Industri 1967. 

Peranan dalam Koridor Raya Multimedia 

Salah satu agenda utama negara ialah mewujudkan masyarakat bermaklumat yang boleh mengguna dan mencipta sistem teknologi maklumat yang boleh meningkatkan keberkesanan pentadbiran kerajaan menerusi kerajaan elektronik, sekolah bistari dan sebagainya. Dalam hal ini, kesatuan sekerja boleh berperanan dengan meminta ahli-ahlinya mendokong cita-cita kerajaan dengan mempelajari komputer dan mendalami pengetahuan tentang teknologi maklumat. Kesatauan sekerja boleh meminta kerajaan menambahkan peruntukan pinjaman membeli komputer dan memberikan subsidi kepada pekerja bawahan yang berpendapatan kecil untuk membeli komputer. Ahli-ahli kesatuan yang berkemahiran dalam penggunaan komputer sewajarnya melatih pekerja-pekerja yang tidak berpengetahuan tentangnya secara sukarela ataupun dengan mengenakan sedikit bayaran.

Pasaran buruh di masa hadapan 

Dunia kini berubah dengan begitu pantas.Teknologi baru dicipta dan globalisasi telah berlaku hampir di seluruh dunia. Kadar perubahan pantas yang berlaku ini menyebabkan masalah-masalah yang berlaku hari ini tidak lagi boleh diselesaikan dengan kaedah penyelesaian dahulu. Cara produk baru dikeluarkan mengalami perubahan yang besar. Ini bermakna tenaga kerja di pasaran buruh menghadapi cabaran-cabaran baru. Pergerakan kesatuan sekerja harus bertindak sebagai pemandu dalam membantu mewujudkan masyarakat pekerja yang berilmu multifleksibel yang berupaya menukar maklumat kepada ilmu pengetahuan yang boleh digunakan dalam pelbagai cara - untuk pembangunan produk, memasarkannya, menyediakan penjagaan yang lebih baik kepada golongan tua dan sebagainya.  
Pekerja yang berilmu akan menjadi sumber terpenting bukan lagi pemilikan modal. Sumber ini akan dikaitkan dengan individu pekerja. Pekerja-pekerja yang berilmu tidak lagi dibayar mengikut jam tetapi berdasarkan bagaimana kreatifnya mereka menjalankan sesuatu tugas. Dalam hal ini, kesatuan sekerja boleh berperanan dengan meminta majikan meyediakan peluang-peluang yang lebih bagi pekerja melanjutkan pelajaran ke universiti dan menghantar mereka berkursus supaya dapat menyerap pengetahuan mengenai teknologi-teknologi baru. Dalam pasaran buruh masa hadapan, semua pekerja diharapkan berkebolehan  (1) menjalankan pelbagai tugas,  (2) berkomunikasi secara lisan atau tulisan,  (3) mengambil risiko dan inisiatif, (4) menggunakan teknologi maklumat, (5) lebih bertanggungjawab dan berdikari,  (6) mengutamakan keselamatan di tempat kerja, (7) lebih fleksibel terhadap waktu bekerja,  (8) sentiasa memikirkan kualiti dan  (9) berfikir dan bertindak secara kreatif.

 RUMUSAN 
Satu kesimpulan yang boleh dibuat ialah peranan kesatuan sekerja adalah penting dalam menjaga kepentingan tiga pihak iaitu pekerja, majikan dan kerajaan bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti hidup supaya negara dapat membangun dengan pantas dalam merealisasikan wawasannya. Pergerakan kesatuan sekerja berpendapat bahawa pekerja-pekerja bukan semata-mata faktor pengeluaran. Mereka sewajarnya dihargai sebagai rakan kemajuan dan perlu dilayan berdasarkan pengiktirafan dan status mereka dalam masyarakat. Kesatuan sekerja berharap kerajaan dan majikan tidak meminta kesatuan sekerja menjadi rakan hanya pada waktu-waktu sukar dan mengenepikan atau mengabaikan pekerja-pekerja apabila keadaan ekonomi memuncak. Walau bagaimanapun untuk menjayakannya, semua kesatuan sekerja yang wujud di negara ini perlulah bersatupadu dan mengelakkan pertelingkahan sesama sendiri.

MAJIKAN MEMANIPULASI GAJI MINIMUM?

PUTRAJAYA 7 Jan. - Kerajaan digesa memantau tindakan sesetengah majikan berstatus multinasional yang didakwa memanipulasi arahan pelaksanaan gaji minimum dengan menggabungkan gaji pokok asal bersama pelbagai elaun lain.

Presiden Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Barat Semenanjung, Wan Noorulazhar Mohd. Hanafiah mendakwa, pihaknya pernah menerima aduan pekerja industri berhubung tindakan seumpama itu.

Katanya, majikan tidak boleh bertindak sedemikian kerana bertentangan dengan arahan daripada Majlis Perundingan Gaji Negara berhubung pelaksanaan gaji minimum.

"Semasa taklimat gaji minimum oleh majlis itu baru-baru ini, mereka tidak jelaskan langsung tentang membenarkan majikan menggabungkan gaji pokok RM900 sebulan dengan elaun yang wujud sebelum ini.

"Tetapi apa yang berlaku sekarang terdapat majikan terutama dalam industri semikonduktor menggabungkan gaji pokok dalam lingkungan RM680 sebulan dengan elaun makanan, kehadiran dan lain-lain berdasarkan notis yang kami terima," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Perintah kadar gaji minimum berkuatkuasa awal bulan ini melibatkan kira-kira tiga juta tenaga kerja swasta dalam pelbagai sektor.

Pelaksanaannya diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 April lalu dan diwartakan pada 16 Julai lalu manakala kadarnya akan dikaji setiap dua tahun.

Kadar gaji minimum sektor swasta iaitu bagi Semenanjung sebanyak RM900 sebulan atau RM4.33 sejam manakala bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan atau RM3.85 sejam

Mengikut Akta Perundingan Gaji Negara 2011, majikan yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 setiap pekerja bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya majikan boleh didenda masing-masing RM1,000 setiap pekerja sehari dan seterusnya denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Menurutnya, tindakan menggabungkan gaji pokok dan elaun hanya boleh dilaksanakan sekiranya terdapat persetujuan antara majikan dengan kesatuan atau pun pekerja sendiri.

Namun, katanya, apa yang dilakukan oleh majikan terbabit ialah mengambil keputusan sendiri tanpa berunding terlebih dahulu.

"Perkara ini mewujudkan diskriminasi dan ketidakadilan terhadap pekerja shift kerana mereka bukan bekerja pada waktu norma.

"Seharusnya majikan berbincang terlebih dahulu dan bukannya menggunakan kuasa autokratik untuk mengeluarkan notis mengingkari arahan majlis tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Wan Noorulazhar menggesa supaya mana-mana pekerja industri yang ditindas supaya tampil membuat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk tindakan lanjut.
 

artikel penuh (sini)

Tuesday, 8 January 2013

MANIFESTO PEKERJA

Pekerja adalah golongan yang penting dalam menerajui kemajuan negara.Justeru itu adalah wajar golongan pekerja diberi perhatian dalam menuntut hak dan keadilan daripada kerajaan.Pekerja di Malaysia wajar bersatu bersama manifesto pekerja yg dilancarkan pada 5 Januari 2013 yang lalu bagi mendesak mana-mana pihak memberi perhatian kepada hak dan kebajikan kita
http://www.jerit.org/index.php/jaringan/jaringan-pekerja-malaysia/713-pekerja-kuasa-perubahan-maruah-pekerja-maruah-negara#.UOu9fZ3VGxI.facebook